KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Rabu, mencapai paras tertinggi baharu dengan konsisten berikutan peniaga menyaksikan peluang untuk menyimpan ringgit, dengan jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang semakin hampir, kata pakar ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.3460/3500 berbanding dolar AS daripada 4.3470/3505 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pihak berkuasa Rizab Persekutuan (Fed) AS sedang mengemudi pasaran untuk memastikan pasaran wang dan modal menjalankan peranan dengan teratur.

"Apa yang penting pada masa ini adalah pengurangan kadar menjadi satu kaedah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dapat distabilkan dan memulihkan kelembapan di pasaran buruh.

"Sehubungan itu, penurunan sederhana pertumbuhan AS secara umumnya adalah senario yang diterima dengan meluas. Oleh itu, peniaga dan pelabur memantau dengan teliti aspek ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 17-18 September dijangka menyaksikan Fed memulakan penurunan dasar monetari selepas Pengerusi Fed Jerome Powell memberikan isyarat peralihan dasar monetari semasa Simposium Jackson Hole pada Jumaat lepas.

"Penurunan kadar ini adalah pemangkin penting memandangkan ia mungkin menurunkan hasil bon AS dan melemahkan dolar AS, yang berpotensi membawa aliran masuk modal asing yang besar ke pasaran sedang pesat membangun," katanya.

Pada penutupan dagangan, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0006/0035 daripada 3.0188/0214 pada Isnin, naik berbanding euro kepada 4.8532/8576 daripada 4.8565/8604 semalam, namun lemah berbanding pound Britain kepada 5.7511/7564 daripada 5.7324/7370 sebelumnya.

Pada masa sama, mata wang tempatan lebih baik berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3331/3364 daripada 3.3367/3396 semasa ditutup pada Isnin dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 280.4/280.8 daripada 281.5/281.8.

Ia menokok berbanding baht Thailand kepada 12.7523/7712 daripada 12.7891/8050 semasa ditutup semalam dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.73 berbanding 7.75/7.77 sebelum ini.

-- BERNAMA