KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat sedikit perubahan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini berikutan pelabur menantikan data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang akan diumumkan lewat hari ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6930/6980 berbanding dolar AS daripada 4.6935/6965 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data NFP AS dijangka mencecah 186,000 pada Mei berbanding 175,000 sebelum ini manakala kadar pengangguran mungkin kekal pada 3.9 peratus.

"Ringgit dijangka tetap dalam julat kecil hari ini. Sekiranya NFP menyusut lebih rendah berbanding jangkaan, ini mungkin menyebabkan dolar lebih lemah.

"Jika tidak, dolar AS dijangka kekal teguh berikutan Rizab Persekutuan dilihat tidak tergesa-gesa untuk melonggarkan dasar monetarinya," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata kadar faedah global dilihat telah memuncak, yang menyaksikan European Central Bank menjadi yang terkini menyertai kelompok pengurangan kadar, berikutan keputusan penurunan kadar oleh Bank of Canada minggu ini.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.0132/0166 daripada 3.0094/0113, berkurangan berbanding pound Britain kepada 6.0014/0078 daripada 5.9997/6.0035 sebelum ini dan lemah berbanding euro kepada 5.1107/1161 daripada 5.1065/1098 semasa ditutup pada Khamis.

Sementara itu, ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.8921/9101 daripada 12.8660/8798 semasa ditutup semalam dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4874/4914 daripada 3.4842/4866.

Sementara itu, mata wang tempatan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina dan rupiah Indonesia, masing-masing pada 8.01/8.03 daripada 8.01/8.02 dan 288.5/288.9 daripada 288.6/288.8.

-- BERNAMA