KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia yang merosot dalam Indeks Daya Saing Global IMD 2024 tidak wajar dipersalahkan kepada kerajaan semasa. 


Ringkasan AI
  • Kedudukan Malaysia merudum dalam Indeks Daya Saing Global IMD 2024 bukan sahaja kerajaan semasa sepenuhnya.
  • Masalah struktur yang berpanjangan telah menghalang kemampuan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
  • Untuk memperbaiki kedudukan fiskal dan merasionalisasi subsidi yang membebankan, kerajaan perlu membuat keputusan yang bijaksana.
  • Belajar dari pengalaman seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), memperbaiki dasar dan peraturan dapat memberi impak positif kepada daya saing Malaysia.


Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata dapatan tersebut adalah lanjutan daripada masalah struktur yang memamah keupayaan bersaing negara sejak sekian lama.

“Saya nak pastikan kepada masyarakat jangan persalahkan hanya kerajaan hari ini. Kejatuhan (Indeks Daya Saing Global IMD 2024) ini bukan mengenai tahun lepas semata-mata. Kejatuhan ini telah berlaku terutamanya apabila keadaan tidak stabil dalam negara. 

“Pada 2010 hingga 2016, kita berada dalam julat yang agak baik – 20 teratas. Pada 2017 sehingga 2020, kita bergerak dalam julat 20-an. Sejak 2021, kedudukan kita terus merudum ke kedudukan 30-an,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.



Tambah Noor Azlan, isu-isu struktur ekonomi negara perlu ditangani dengan baik agar tidak merencatkan keupayaan Malaysia bersaingan diperingkat antarabangsa. Ini melibatkan sebarang keputusan kerajaan yang boleh memberi kesan langsung kepada pasaran.

"Apabila kerajaan hendak memperbaiki kedudukan fiskal dan merasionalisasikan subsidi yang membebankan, banyak kecelaruan. Mungkin tatacaranya boleh diperkemaskan, sama seperti pengalaman kita dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” jelasnya.

Pada 19 Jun lalu, dilaporkan Malaysia jatuh tujuh anak tangga kepada ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, manakala Singapura kekal di tangga teratas.

Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu, menurut sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland, International Institute for Management Development (IMD).

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah daripada Thailand (ke-25) dan Indonesia (ke-27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (ke-52).