KUALA LUMPUR: Nilai ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa walaupun data ekonomi negara maju itu lemah, sebagaimana dipaparkan oleh penguncupan sektor pengeluarannya bagi tiga bulan berturut-turut, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada paras 4.7200/7225 berbanding dolar AS daripada 4.7120/7155 yang dicatatkan semalam.

Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS susut kepada 48.5 mata pada Jun daripada 48.7 mata pada Mei -- bulan ketiga berturut-turut di bawah paras 50 mata.

Mengulas perkara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ISM menunjukkan bahawa permintaan di AS kekal suram ketika syarikat-syarikat masih belum bersedia membuat pelaburan modal dan inventori susulan dasar monetari lebih ketat yang dilaksanakan oleh pihak Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Bagaimanapun, Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat dan mencecah paras sehingga 106.04 mata sebelum berada di paaras 105.99 mata," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain, termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.9195/9213 daripada 2.9254/9278 semalam.

Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9628/9659 daripada 5.9706/9750 dan mengukuh berbanding euro kepada 5.0556/0583 daripada 5.0682/0720.

Selain itu, prestasi ringgit meningkat berbanding mata wang serantau di ASEAN.

Ini termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4737/4757 daripada 3.4772/4801 pada akhir urus niaga semalam dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8021/8141 daripada 12.8329/8481.

Ringgit juga mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.02/8.03 daripada 8.03/8.04 sebelum ini dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 287.8/288.1 daripada 288.7/289.0.

-- BERNAMA