KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunan untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat walaupun data ekonomi AS lemah, kata pakar ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7110/7145 berbanding dolar AS daripada 4.7080/7110 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tuntutan pengangguran awal AS meningkat kepada 238,000 pada minggu berakhir 15 Jun, melepasi jangkaan awal sebanyak 235,000.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pada masa ini, dolar AS kekal menggalakkan memandangkan hasrat Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk mengekalkan pendirian cenderung kepada kadar faedah tinggi, terutama apabila bank pusat di Eropah dan Kanada telah memulakan pusingan pelonggaran monetari.

"Keadaan ini menjadikan dolar AS menjadi tumpuan susulan perbezaan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peserta pasaran akan menumpukan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS terkini bagi suku pertama 2024 di samping siri ceramah oleh pegawai Fed minggu depan untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk bagi hala tuju pasaran.

Sementara itu, ringgit ditutup tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9648/9671 daripada 2.9711/9732 ketika ditutup semalam dan tinggi berbanding pound British kepada 5.9594/9638 daripada 5.9815/9853.

Ringgit stabil berbanding euro kepada 5.0394/0431 daripada 5.0498/0530.

Unit domestik diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 286.3/286.7 daripada 286.5/286.8 ketika ditutup semalam, dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.02 daripada 8.01/8.02.

Mata wang tempatan kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4785/4814 daripada 3.4807/4832.

Walau bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.8495/8639 daripada 12.8008/8138.

-- BERNAMA