Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bagaimanapun berkata, beliau tetap berbangga kerana telah berusaha untuk kampung halamannya.
"Adat masuk ke gelanggang, pasti ada kalah, pasti ada yang menang. Kecundang bukan maksudnya lemah, tewas bukannya tidak berbalas.
"Alhamdulillah, walaupun tidak diberikan mandat untuk memacu Sepang, saya berbangga atas segala usaha yang telah dicurahkan kepada kampung halaman saya selama ini.
"Terima kasih buat seluruh pengundi yang mengundi saya dalam PRU15. Cuma bukan rezeki untuk saya berkhidmat buat anda kali ini," katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Justeru, Rina melahirkan penghargaan kepada semua jentera yang membantunya sepanjang berkempen pada PRU15.
"Setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh jentera yang mengerah keringat siang dan malam bagi menawan Sepang. Usaha kalian begitu besar buat saya dan tidak terbalas dengan kata-kata.
"Semoga Malaysia terus makmur, maju dan sejahtera," ujarnya.
Rina yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa tewas di Sepang selepas calon Pakatan Harapan, Aiman Athirah Sabu mendapat majoriti 8,949 undi.
Aiman Athirah memperoleh 56,264 undi, diikuti Rina dengan 47,315 undi dan Anuar Basiran (Barisan Nasional) dengan 31,097 undi.
Calon Pejuang, Datin Che Asmah Ibrahim pula mendapat 2,337 undi, calon bebas M Munewaran 194 undi, serta calon PRM, Nageswaran Ravi 165 undi.