KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menawarkan diri untuk merebut jawatan Ketua Srikandi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pemilihan parti itu yang dijadual pada Oktober ini.


Ringkasan AI
  • 1, Pencalonan Ketua Srikandi: Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Masjid Tanah, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Srikandi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada Oktober ini.
  • Pengumuman Rasmi: Pengumuman tersebut dibuat oleh Mas Ermieyati dalam satu majlis bersama ahli-ahli Bersatu dan disahkan oleh beliau ketika dihubungi Astro AWANI.
  • Jawatan Tertinggi Parti: Pada 13 Julai, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa dua jawatan tertinggi parti bagi penggal akan datang telah diisi melalui rundingan dalam kalangan Majlis Pimpinan Tertinggi.


Dalam satu video yang dilihat Astro AWANI, pengumuman tersebut dibuat oleh Mas Ermieyati yang kini Naib Ketua Srikandi Bersatu dalam satu majlis bersama ahli-ahli Bersatu yang difahamkan berlangsung malam tadi.

"Ramai yang bertanya kepada saya, mana Yang Berhormat nak pergi? Soalan ini punya lah lama ditanyakan...

"Kalau jumpa bukan (hanya) Ketua Srikandi sekali sahaja (ditanya), malah Ketua Bahagian bertanya-tanya dan Armada (iaitu) adik Srikandi pun bertanya, mana Kak Ermi (panggilan Mas Ermieyati) nak pergi?

"Sebab itu atas dasar nak membantu Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk memberikan pengukuhan kepada parti dan tambah baik sebagai apa yang kita telah lakukan untuk Srikandi Bersatu, saya dengan lafaz Bismillah menawarkan diri bertanding (jawatan) Ketua Srikandi," katanya dalam rakaman video berkenaan.

Sementara itu, Mas Ermieyati ketika dihubungi Astro AWANI turut mengesahkan perkara tersebut.

Jawatan Ketua Srikandi Bersatu ketika ini digalas oleh Datuk Seri Rina Harun.

Pada 13 Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan dua jawatan tertinggi parti itu bagi penggal akan datang sudah diisi secara rundingan dalam kalangan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Menurut beliau, dua jawatan itu ialah Timbalan Presiden yang ditawarkan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini ahli MPT ditawarkan untuk jawatan Setiausaha Agung.