SEPANG: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) di Sepang, Datuk Seri Rina Harun berhasrat menjadikan Sepang sebagai hab ekonomi dan pelancongan negara.

Ujarnya, lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terletak dalam parlimen itu perlu dimanfaatkan supaya pelancong yang tiba menjadikan Sepang destinasi pilihan mereka.

“Kita nak supaya pembangunan ini bukan sahaja tertumpu di Kuala Lumpur, KLIA, atau di Cyberjaya, tetapi limpahannya kita nak juga sampai di Sungai Pelek, Bagan Lalang dan sebagainya. Saban tahun ramai pelancong turun ke KLIA, ke mana mereka pergi di tanah Malaysia ini.

“Jadi kita nak jadikan Sepang hub ekonomi dan pelancongan supaya mereka boleh singgah di Sepang ini bagi memakmurkan ekonomi rakyat di Sepang dan dalam masa sama dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sepang,” katanya kepada Astro AWANI semasa berkempen di Pasar Malam Salak Tinggi di sini pada Khamis.

Malah katanya, banyak lagi produk anak tempatan perlu dipromosikan di pasaran.

“Kita ada banyak produk tempatan yang boleh kita perluaskan dan bantu supaya dapat dipasarkan produk penghasilan penjenamaan tempatan ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga akan mengatasi isu banjir dan orang muda yang telah lama dibincangkan dan bukan baru nak dilaksanakan.

“Isu ini bukan saya datang baru nak cakap. Kita sudah ada perbincangan. Saya telah usahakan pelbagai perkara untuk membantu mengatasi masalah banjir ini.

“Isu anak muda dan belia juga bukan baru nak dibuat, dan dilaksanakan. Saya nak teruskan usaha saya di Sepang ini,” tambah beliau.

Dalam pada itu Rina berharap pengundi Sepang dapat memilih bakal wakil rakyat yang betul dan bukan mereka yang hanya tunjuk muka apabila tiba musim pilihan raya.

“Calon PH ini dia baru datang, kita nak pilih pemimpin yang bila pilihan raya baru nak merayu undi, bukan baru nak tunjuk muka.

“Kita sudah bertahun di Sepang. Jadi kalau ada ramai calon yang datang untuk berjumpa, tanya mereka, apa yang mereka laksanakan untuk bantu rakyat di Sepang,” kata beliau.

Ends