Kesemua sembilan beranak dilihat ceria selepas selesai mengundi bagi Parlimen Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok pada pagi Sabtu.
Bukan sahaja dapat mengundi, malah, pengundian kali ini dianggap meriah, semeriah Hari Raya Aidilfitri.
Bagi Suriati Muharom, 58, dia teruja kerana dapat membawa tiga anaknya, tiga anak saudara dan dua adik beradik perempuannya sekali gus menaiki sebuah kenderaan ke pusat mengundi.
Katanya, inilah masanya untuk bergembira dan rasa teruja, lebih-lebih lagi sebahagian ahli keluarga yang bekerja di luar negeri dapat pulang mengundi bersama-sama.
"Kebetulan hari mengundi sama dengan hari pernikahan di rumah, jadi memang meriah dengan semua orang balik berkumpul.
"Kita anggap ini sebagai undi raya. Jadi, kami berayalah," katanya semasa ditemui Astro AWANI di pusat mengundi di SK Ijok pada Sabtu.
Kepada mereka yang masih belum mengundi, Suriati berharap segera menunaikan tanggungjawab itu bagi memilih wakil rakyat yang bakal mewakili mereka.
"Pengundian berjalan lancar. Kami memang sejak dari pagi tadi memang tak sabar nak mengundi.
"Setiap kali mengundi kami akan datang sekali beramai-ramai anak-beranak dengan menaiki sebuah kereta.
"Kami sayangkan negeri kami, kami nak sama-sama mengundi nak sama-sama supaya dapat wakil yang boleh bantu kami," katanya.