SEPANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua Wanitanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun sebagai calon kerusi Parlimen Sepang bagi gabungan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengumuman itu sekali gus menjawab desas-desus sebelum ini bahawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu akan diletakkan di kerusi panas berkenaan. 

"Calon yang kita nak letak di Sepang adalah Datuk Seri Rina Mohd Harun. Sah (kerana) Presiden yang umum. Malam ini sahih, ini calon kita di Sepang," katanya semasa berucap pada program Jelajah Prihatin PN Sepang di Dataran Sadiman, Bukit Changgang di sini pada Isnin malam.

Dengan pengumuman itu, Rina bakal berentap dengan dua lagi pemimpin wanita dari parti lawannya, iaitu Ketua Pejuanita Pejuang, Che Asmah Ibrahim; dan Ketua Wanita Pakatan Harapan, Raj Munni Aiman Athirah.


Kerusi Parlimen Sepang, yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Sepat, Sungai Pelek dan Dengkil, ketika ini disandang oleh Mohamed Hanipa Maidin daripada Parti Amanah.

Mohamed Hanipa memenangi Parlimen Sepang dengan majoriti 1,142 undi dalam saingan empat penjuru pada PRU13 dan berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 18,705 undi, selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS pada PRU14. 

Beliau bagaimanapun tidak dicalonkan pada PRU15 kerana Amanah mahu memberi peluang kepada muka baharu.