SHAH ALAM, Klang dan Sungai Buloh adalah antara kawasan Parlimen paling teruk terjejas dengan bencana banjir yang melanda negeri Selangor pada minggu ini.

Baru masuk seminggu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kesemua calon daripada parti yang bertanding di kawasan banjir nampaknya sudah diberikan 'kertas ujian' sebelum bermulanya 'peperiksaan besar' pada 19 November.

Dua calon heavyweight di Sungai Buloh iaitu dari Pakatan Harapan (PH), Datuk R.Ramanan dan Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin, paling mencuri tumpuan.



Kedua-duanya membatalkan program kempen yang sudah tersedia pada sebelah petang apabila mendapat tahu lokasi seperti Kampung Melayu Subang dilanda banjir kilat.

Calon dua parti itu nampaknya bijak mengatur gerak kempen masing-masing dengan turun padang bersama penduduk dan pengundi tatkala dilanda bencana.

DAPATKAN SENARAI CALON-CALON PRU15 DAN KEPUTUSAN PRU14 DI SINI 



Seorang lagi calon BN di Kota Raja, D Kajendran tidak kurang hebatnya.

Dari awal lagi, beliau sudah turun ke kawasan banjir di Kampung Bukit Naga, Shah Alam dan kemudian turut meranduk air banjir di Kota Raja, kawasan yang ditandinginya.

Malah kata Kajendran, jenteranya juga telah bersiap-sedia dengan bot dan kelengkapan menyelamat bagi menangani kejadian banjir yang paling kerap berlaku di kawasan itu.

Benarlah, hujan yang turun itu bagaikan satu rahmat.

'Rahmat' untuk calon-calon yang bertanding di kawasan banjir untuk benar-benar merasai kesusahan dirasai pengundi dan pada masa sama menanam semangat untuk terus membantu mereka jika menang kerusi masing-masing pada 19 November ini.