TENOM: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony akan memfailkan penyemakan status kepada Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat untuk menyemak sama ada beliau layak atau tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

Perkara itu tegas Peter dibuat susulan bantahan pencalonan nama beliau di saat akhir dipercayai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pusat kira-kira pukul 12 tengah hari Sabtu.

"Kita dimaklumkan atas sebab apa dibatalkan, mereka (SPR) menyatakan ia dibatalkan oleh SPR Pusat.

"Sehubungan itu, saya telah membuat laporan dan akan memfailkan perkara ini ke Mahkamah Tinggi pada Isnin ini bagi melihat sama ada saya layak atau tidak bertanding.

"Untuk makluman dalam penghakiman Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini, sabitan tersebut telah digantung bererti saya tiada apa-apa kesalahan. Malah dokumen itu telah saya serahkan kepada SPR dan Pegawai Pilihan Raya tetapi mereka tidak menerima perkara ini seolah-olah saya ini seorang penjenayah dan tidak layak bertanding... perkara ini saya serahkan kepada mahkamah," katanya.

PRU15: SEMAK NAMA-NAMA CALON DAN KEPUTUSAN PRU 14 DI SINI 




Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan di Balai Polis Tenom pada Sabtu.

Ditanya sama ada pembatalan pencalonan beliau akan menjejaskan calon parti KDM di kawasan lain di Sabah, Peter yang juga ADUN Melalap menyifatkan ia sebaliknya adalah kemenangan kepada parti itu.


Katanya, perkara itu akan memberi semangat kepada calon-calon dan para penyokong KDM di tujuh lagi kawasan yang ditandingi.

"Ini satu kemenangan kepada kami kerana kami layak bertanding tetapi ditidakkan sebab tangan ghaib yang cuba campur tangan dalam demokrasi Malaysia.

"Jadi kita tidak akan berputus asas dan saya ingat para penyokong juga begitu. Selagi mahkamah ada, mahkamah akan menentukan sama ada kami layak bertanding (atau tidak)," katanya.

Mengulas mengenai tindakan para penyokong beliau hingga membuat rusuhan, Peter berkata, perkara itu timbul susulan ketidakpuasan hati para penyokongnya apabila pencalonan beliau dibatalkan.