MARAN : Meskipun tinggal beberapa jam sebelum calon Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sudah ada suara daripada masyarakat Orang Asli di Parlimen Maran yang mahukan penyandangnya, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib kekal menjadi calon.

Menurut Tok Batin Jantan Bujing, 60, adalah menjadi kegelisahan masyarakat itu sekiranya calon luar diberi laluan untuk bertanding di kawasan itu.

"Kalau Datuk Seri (Ismail Mutalib) tidak dicalonkan di kawasan Parlimen Maran, masyarakat Orang Asli tidak akan keluar mengundi.

"Sebab kita tak nampak pemimpin yang akan dicalonkan (ada) kepimpinan kemasyarakatan, yang ada kepentingan diri sendiri tapi bukan masyarakat Orang Asli yang kini hidup terhimpit dan tidak mendatangkan ceria.

"Kalau di bawah Datuk Seri kita ada harapan yang tinggi lah," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Selasa.


Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN


Jelasnya, penduduk di Kampung Orang Asli Batu 55 dianggarkan seramai 700 orang.

Manakala pemilih yang layak mengundi PRU15 kali ini sekitar 400 orang.

Sejak semalam, spekulasi mengenai calon-calon Parlimen BN terus hangat diperkatakan ramai pihak.

Sebelum ini antara nama yang disebut-sebut akan digugurkan adalah Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada PRU14, Ismail memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 3,763 undi mengatasi pencabarnya daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam PRU kali ini, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon Ahmad Shuhor Awang (Amanah) untuk kerusi P.086 Maran, manakala Perikatan Nasional (PN) dijangka turut mengumumkan calonnya malam ini.