KUALA LUMPUR: Aliran trafik di lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan setakat 10 malam ini, terutama yang menuju ke Lembah Klang.

Ini dipercayai berikutan orang ramai pulang ke destinasi masing-masing selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi Bernama berkata aliran trafik perlahan sepanjang 12 kilometer dari Genting Sempah menghala Plaza Tol Gombak dan Lanchang ke Bukit Tinggi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1-800-88-0000 dan laman Twitter www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

-- BERNAMA