Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dibuka pada 8 pagi tadi membolehkan 39,269 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.
Kesemua pusat pengundian berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, ditutup pada 2 petang.
SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi PRK itu sekitar 60 peratus.
Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini dan keputusan rasmi dijangka diumumkan seawal 9 malam.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
-- BERNAMA