Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sejak pertukaran kerajaan pada 2018, inflasi makanan dan minuman paling rendah yang direkodkan ialah pada Julai iaitu 0.7 peratus serta kekal rendah hingga Mei 2019 sebelum meningkat kepada 1.2 peratus, kesan daripada penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Pada Jun 2019, (ia) mula naik melebihi dua peratus dan hanya turun semasa pandemik COVID-19 akibat permintaan kurang... pada Oktober 2021, harga barang makanan dan minuman mula naik mendadak dari 1.9 peratus kepada 7.2 peratus dalam bulan Ogos 2022.
"Kenaikan harga makanan dan minuman hanya mula turun secara signifikan mulai Mac 2023 dengan 6.9 peratus kemudian turun kepada 4.1 peratus pada Ogos 2023, dua peratus bagi Januari 2024 dan sekarang ini kekal 1.6 bagi September 2024," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagi tempoh 2011 hingga 2024 kadar kenaikan harga makanan dan minuman adalah dalam lingkungan dua hingga 5.7 peratus.
Rafizi berkata dengan merujuk kepada angka dan fakta itu, jangan ada pihak yang terlalu mudah untuk menuduh kerajaan memutar-belit angka ekonomi sehingga wujud dakwaan kononnya harga barang naik 30 peratus.
Mengulas mengenai pembangunan dan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) yang kononnya sudah menelan kos sehingga RM85 juta, beliau berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali dan jumlah perbelanjaan sebenar hanya mencecah RM31 juta setakat September lepas.
"Jumlah itu merangkumi pembelian perkakasan ICT seperti pelayan tembok api keselamatan rangkaian dan perkakasan komputer bernilai RM190,000, perisian ICT (RM4.6 juta), pengkomputeran awan dan pengujian sistem (RM6.4 juta).
"Yang mahal itu operasi pendaftaran pengguna yang kita terpaksa menggajikan kakitangan MySTEP untuk digerakkan ke seluruh negara untuk jaga kaunter pendaftaran dan masuk kampung, ini nilainya RM19.3 juta," katanya.
Beliau berkata semua sistem PADU dibangunkan oleh penjawat awam dan sekiranya pembangunan sistem itu mengikut cara lama iaitu membayar sumber luar, kos mampu mencecah hingga ratusan juta.
Rafizi berkata kewujudan sistem PADU membolehkan kerajaan beralih daripada pendekatan pendapatan kasar kepada pendapatan boleh belanja bersih ditambah dengan kaedah pengukuran Perbelanjaan Asas Kehidupan Waja (PAKW) yang diperkenal oleh DOSM.
"Justeru, pengelasan mereka yang layak atau tidak layak mendapat subsidi petrol RON95 nanti adalah berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih dan hasrat kerajaan ialah sehingga 85 peratus isi rumah ikut kaedah ini akan terima subsidi kerana ia lebih adil dan saksama.
"Cuma pada peringkat sekarang, ia perlu diperhalusi kriterianya... Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang perhalusi kemudian dimuktamad oleh Kabinet," katanya.
-- BERNAMA