KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan satu model Ombudsman Malaysia yang unik dengan menggabungkan Biro Pengaduan Awam serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.


Ringkasan AI
  • Kulasegaran menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan model Ombudsman Malaysia dengan menggabungkan Biro Pengaduan Awam serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai badan bebas yang menerima dan meneruskan aduan berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan awam persekutuan.
  • Cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia telah dibentangkan dan dipersetujui dalam beberapa mesyuarat, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi dan Undang-Undang serta mesyuarat Jemaah Menteri. Sesi libat urus holistik sedang berjalan untuk memastikan pandangan semua pihak berkepentingan diambil kira secara telus dan menyeluruh.
  • Menteri Digital Gobind Singh Deo menyatakan bahawa kementerian sedang mengkaji kesesuaian peruntukan mengenai perlindungan data peribadi dalam draf Rang Undang-Undang Perkongsian Data (Omnibus). Ini bertujuan untuk mengawal selia perkongsian data antara agensi dalam sektor awam dengan memastikan perlindungan data peribadi daripada penyalahgunaan.


Kulasegaran memberitahu Persidangan Dewan Rakyat bahawa usaha itu adalah komitmen kerajaan untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai badan bebas yang akan menerima dan meneruskan aduan berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan awam persekutuan.

Beliau berkata cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi dan Undang-Undang pada 29 April lepas yang memutuskan sesi libat urus holistik dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan untuk menentukan mekanisme penubuhan dan pelaksanaannya.

"Keputusan ini turut dipersetuju dalam mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 12 Jun 2024. Kini proses pelantikan ahli jawatankuasa setiap agensi yang terlibat bagi tujuan sesi libat urus holistik itu sedang berjalan.

"Sesi libat urus ini penting untuk memastikan pandangan dan keperluan semua pihak berkepentingan diambil kira secara telus dan menyeluruh untuk kepentingan rakyat dan negara," katanya semasa menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu pelan terkini menggubal Akta Ombudsman Malaysia.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo pula memberitahu Dewan Rakyat pihaknya akan mengkaji kesesuaian peruntukan mengenai perlindungan data peribadi dalam draf Rang Undang-Undang Perkongsian Data (Omnibus).

Beliau berkata cadangan untuk mengubah Akta Perkongsian Data (Akta Omnibus) yang dijangka tahun ini masih di peringkat penetapan dasar prinsip-prinsip utama.

"Rang Undang-undang Perkongsian Data (Omnibus) yang dicadangkan adalah untuk mengawal selia perkongsian data antara agensi dalam sektor awam dan ia masih di peringkat penetapan dasar prinsip-prinsip utama.

"Kementerian mengambil maklum akan keperluan perlindungan data peribadi daripada penyalahgunaan oleh mana-mana pihak semasa perkongsian data dijalankan antara agensi," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memasukkan peruntukan mengenai perlindungan data peribadi daripada penyalahgunaan oleh pihak kerajaan di dalam Akta Omnibus yang akan diperkenalkan kelak.

Gobind berkata agensi kerajaan dikecualikan daripada pemakaian Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, namun pegawai awam tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.


INFO

Ombudsman merujuk kepada pegawai atau badan rasmi yang bertanggungjawab menerima dan menyiasat aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan jentera kerajaan.

Pegawai-pegawai ini ditugaskan untuk mewakili kepentingan umum dengan menghadapi aduan salah tadbir atau pelanggaran hak-hak.