LIMA bulan terakhir 2024 menjadi saksi kepada tekad luar biasa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang bersama barisan pegawai kanannya melakar pelan induk reformasi yang strategik dan penuh wawasan.

Pelan ini bukan sekadar dokumen, sebaliknya ia adalah aku janji kepada rakyat dan negara untuk mentransformasikan perkhidmatan awam demi kecemerlangan negara.

Dengan kepimpinan yang tegas, KSN dan pasukannya begitu bersungguh dan serius dalam memastikan reformasi ini menjadikan perkhidmatan awam tunjang kekuatan negara, selaras dengan aspirasi MADANI.

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar - Foto BERNAMA

Pelbagai usaha dan program diatur untuk menyemarakkan kefahaman dan ketekunan dalam menjuarai reformasi, selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan usaha pelaksanaan reformasi dilakukan segera.

Ternyata bahawa reformasi perkhidmatan awam bukan lagi sekadar proses teknikal tetap ia adalah satu seruan nasional.

Penjawat awam bukan lagi sekadar pegawai kerajaan; mereka adalah nadi kepada aspirasi rakyat dan penentu kejayaan agenda negara MADANI.

Reformasi yang sedang diusahakan ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk mentransformasikan sektor awam, menjadikan ia lebih cekap, telus, serta berorientasikan rakyat.

Namun, soalnya ialah sejauh mana penjawat awam memahami dan menjiwai mandat besar ini? Adakah rakyat akan merasa kesan perubahan ini? Dan, bagaimana kerajaan memastikan setiap ringgit yang dilaburkan menghasilkan pulangan sebenar dalam bentuk keyakinan rakyat, kelancaran pentadbiran, dan keberkesanan pelaksanaan dasar?

Kerajaan telah menyediakan insentif termasuk penyelerasan skim gaji baharu, untuk memastikan penjawat awam lebih bermotivasi. Namun, insentif ini bukan satu jaminan kejayaan tanpa komitmen dan akauntabiliti yang tinggi.

Reformasi ini adalah revolusi minda, satu peralihan dari cara lama ke budaya kerja yang dinamik, inovatif, dan berorientasikan rakyat.

Penjawat awam mesti menjadi pemimpin perubahan - bukan sekadar pelaksana tetapi penggerak aspirasi rakyat dan pembina negara.

Tahun 2025 membawa cabaran baharu, di mana detik Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN dan perlu disemat bahawa ini lebih daripada sekadar acara antarabangsa.

Ia adalah pentas untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai sistem pentadbiran yang bukan sahaja berfungsi tetapi unggul. Ini adalah saat di mana penjawat awam perlu bangkit, rakyat perlu yakin, dan kerajaan perlu tegas dalam memastikan reformasi ini mencapai matlamat.

1. Reformasi Sebagai Tuntutan Bukan Pilihan

Kerajaan memilih untuk memperkemaskan sektor awam sebagai langkah awal kerana tanpa sektor awam yang mantap, agenda besar negara tidak akan bergerak dengan lancar.

Namun, reformasi ini tidak boleh dianggap sebagai usaha kosmetik atau sekadar memenuhi janji politik. Ia adalah satu tuntutan mendesak yang memerlukan:

a) Perubahan Budaya Kerja:
Penjawat awam perlu keluar daripada zon selesa dan mula bekerja dalam persekitaran yang lebih pantas, inovatif, dan strategik.

b) Semangat Kepemimpinan:
Setiap individu dalam sektor awam perlu bertindak sebagai pemimpin, bukan hanya pelaksana arahan. Peter Drucker mengatakan: “Kepimpinan dalam perkhidmatan awam bukan hanya tentang kuasa atau jawatan, tetapi tentang dedikasi untuk melayani dan memimpin dengan kejujuran serta integriti."

c) Komitmen Jangka Panjang:
Reformasi ini adalah proses berterusan, dan hasilnya memerlukan konsistensi serta ketabahan.

Reformasi ini mesti menjadi revolusi minda - penjawat awam tidak lagi boleh berfungsi dalam kerangka lama tetapi perlu berani mencabar status quo untuk membina perkhidmatan yang lebih baik.

2. ROI yang Dijangka: Perubahan Bermakna, Bukan Sekadar Statistik

Pulangan atas pelaburan (ROI) bagi skim baharu ini tidak boleh diukur hanya melalui produktiviti dalaman atau jumlah projek yang diselesaikan. Ia perlu membawa perubahan sebenar yang dirasakan oleh rakyat. ROI ini melibatkan:

a) Keberkesanan yang Diukur oleh Rakyat:
Setiap inisiatif mesti menunjukkan impak langsung kepada kehidupan harian rakyat. Jika sesuatu projek mengambil masa yang panjang atau sukar diakses, maka insentif itu telah gagal mencapai matlamatnya.

b) Integriti dalam Pelaksanaan:
Insentif baharu hanya bererti sesuatu jika penjawat awam menunjukkan komitmen penuh kepada prinsip integriti.

c) Kecekapan Global:
Malaysia mesti muncul sebagai salah satu negara yang menunjukkan keunggulan dalam pentadbiran awam di peringkat ASEAN dan dunia.

ROI sebenar hanya akan muncul apabila rakyat percaya bahawa setiap sen yang dibelanjakan untuk penjawat awam memberikan manfaat besar kepada mereka.

Foto BERNAMA

3. Keutamaan Rakyat Adalah Fokus Mutlak

Kritikan sering kali timbul bahawa reformasi ini hanya memanfaatkan penjawat awam tanpa impak langsung kepada rakyat.

Kerajaan perlu memastikan reformasi ini membawa perubahan yang dirasakan oleh rakyat melalui:

a) Penyelesaian Masalah Secara Efisien:
Rakyat mahukan respons yang cepat terhadap isu-isu seperti kesihatan, keselamatan, dan pendidikan. Penjawat awam perlu menjadi penyelesai masalah, bukan sekadar pemproses borang.

b) Kemudahan Teknologi:
Dengan dunia semakin digital, rakyat mengharapkan perkhidmatan awam yang boleh diakses tanpa birokrasi yang rumit.

c) Ketelusan Dalam Proses:
Setiap keputusan dan tindakan mesti boleh dipertanggungjawabkan. Ini akan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem kerajaan.

“Keutamaan rakyat” mesti menjadi mantra yang memandu setiap langkah penjawat awam.

4. Cabaran 2025: Pentas untuk Membuktikan Keupayaan Malaysia

Tahun 2025 adalah detik genting yang menentukan wajah Malaysia di pentas dunia. Ia adalah peluang keemasan untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia bukan sahaja sebuah negara yang berfungsi tetapi juga unggul dalam pentadbiran, berdaya saing, dan dihormati.

Tanggungjawab besar ini memerlukan komitmen seluruh penjawat awam untuk menjadikan perkhidmatan awam kita suatu kebanggaan.

Sebagai tuan rumah ASEAN, perkhidmatan awam akan menjadi duta kepada kredibiliti negara. Beberapa aspek utama yang perlu diberi perhatian adalah:

a) Standard Antarabangsa:
Malaysia mesti memastikan setiap aspek penganjuran ASEAN 2025 menepati atau melebihi standard global.

b) Kebersamaan ASEAN:
Penjawat awam mesti mengutamakan integrasi serantau, bukan hanya untuk acara tetapi juga dalam kerjasama strategik yang berkekalan.

c) Pengurusan Krisis yang Cekap:
Tahun 2025 dijangka membawa pelbagai cabaran ekonomi dan geopolitik. Malaysia mesti bersedia untuk menguruskan segala cabaran ini dengan cekap.

Tahun 2025 adalah masa untuk bertindak, bukan sekadar berbicara.

5. Akauntabiliti Adalah Teras Kejayaan

Tiada reformasi yang akan berjaya tanpa akauntabiliti yang jelas. Kerajaan perlu memastikan bahawa setiap penjawat awam bertanggungjawab terhadap prestasi mereka melalui:

a) Indeks Prestasi Utama (KPI):
Setiap individu mesti diukur berdasarkan hasil yang dicapai, bukan sekadar proses yang dilakukan.

b) Sistem Pemantauan Bebas:
Mekanisme pemantauan yang bebas perlu diwujudkan untuk menilai impak reformasi ini secara objektif.

c) Tindakan Tegas Terhadap Kegagalan:
Mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Tanpanya, reformasi akan hilang arah dan rakyat akan hilang keyakinan.

Setiap penjawat awam mesti sedar bahawa kegagalan dalam melaksanakan tugas bukan sahaja mengecewakan kerajaan tetapi juga mencalarkan harapan rakyat. Tindakan tegas terhadap kegagalan adalah kunci untuk memastikan reformasi ini kekal di landasan yang betul.

6. Seruan untuk Tindakan: Masa untuk Bangkit

Reformasi perkhidmatan awam adalah peluang terbesar bagi Malaysia untuk membuktikan bahawa ia adalah sebuah negara yang bersedia menghadapi cabaran abad ini.

Namun, kejayaan ini tidak akan terjadi dengan sendirinya. Ia memerlukan tindakan tegas, komitmen yang tidak berbelah bahagi, dan kesedaran bahawa masa depan negara bergantung kepada apa yang dilakukan hari ini.

Kepada penjawat awam: Ini adalah panggilan untuk bangkit sebagai wira perubahan - pelaksana visi MADANI yang akan dikenang dalam sejarah.

Kepada kerajaan: Pastikan reformasi ini tidak tergelincir daripada landasan dengan memelihara akauntabiliti sebagai tonggak utama.

Kepada rakyat: Percayalah, reformasi ini adalah untuk anda - hak anda untuk mendapat perkhidmatan terbaik.

Bersama, kita melangkah ke 2025 dengan harapan bahawa Malaysia yang kita impikan sedang dibentuk sekarang.

Tahun 2025 adalah ujian besar, dan Malaysia tidak mampu gagal. Reformasi ini mesti menjadi revolusi yang membawa kepada sebuah negara yang lebih maju, adil, dan dihormati di mata dunia. Masa untuk bertindak adalah sekarang - masa depan kita tidak akan menunggu.

2025 semangat membara,
MADANI megah jadi agenda,
Tekad bersama mendepani era,
Reformasi unggul, Malaysia juara.




* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir JASA dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.