Ketua Pengarah NFCC Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata pelbagai usaha sedang giat dijalankan bersama agensi lain termasuk PDRM, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menstruktur semula NSRC termasuk penyediaan pusat operasi baharu yang akan ditempatkan di Cyberjaya.
"Pihak NFCC ingin mengingatkan orang awam agar berwaspada dengan panggilan yang mengatakan daripada pihak NSRC atau NFCC. NSRC atau NFCC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu untuk mendapatkan maklumat peribadi atau perbankan individu berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata NFCC turut menggesa orang awam atau mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi talian pantas NSRC iaitu 997 untuk melaporkan insiden jenayah penipuan kewangan dalam talian serta mendapatkan nasihat.
Ditubuhkan pada Oktober 2022, NSRC merupakan pusat panggilan respons pantas serta pusat operasi penyelaras dalam membanteras jenayah penipuan kewangan dalam talian dengan kepakaran menjejak wang yang telah dipindahkan antaranya melalui kegiatan penyamaran sebagai pegawai NSRC atau NFCC bagi tujuan memperdaya mangsa.
Pada 19 Mac lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilapor berkata usaha untuk memperkemas struktur NSRC sedang giat dijalankan termasuk mewujudkan sejumlah perjawatan tetap bagi membolehkan pengoperasian NSRC dilaksanakan secara lebih efektif.
Beliau berkata melalui penstrukturan baharu kelak, PDRM akan mengetuai operasi NSRC dengan dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri.
-- BERNAMA
