Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan beliau akan memulakan tugas sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bermula 2 Januari ini.

Ketua Pengarah Imigresen itu berkata surat arahan tersebut telah dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kepada beliau pada Isnin.

“Perkara ini telah dinyatakan oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed (Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah) dalam kenyataan beliau minggu lepas.

“Insya-Allah, gerak kerja baharu ini akan dipikul yang memerlukan gabung jalin tindakan kerana dalam tempat baharu ini akan ada rangkaian kerja dengan agensi penguat kuasa undang-undang yang lain,” katanya pada sidang media Majlis Amanat dan Paluan Berundur di sini pada Isnin.


Jelasnya, tugas baharu ini tidak banyak perbezaan dengan apa yang pernah dilalui selama 30 tahun bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta lebih dua tahun di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Ada kesamaan melibatkan tugas-tugas seperti di SPRM iaitu bagi menangani jenayah kewangan, melakukan penyiasatan audit, rampasan harta, pengurusan aset dan sebagainya.

“Insya-Allah kita akan sebar luaskan berkenaan skop, fungsi serta peranan NFCC ini selepas saya ke pejabat baharu nanti,” tambahnya.


Pada majlis itu, beliau menyampaikan amanat kepada pengurusan kanan, pegawai serta anggota JIM yang turut disiarkan secara dalam talian bagi disaksikan pegawai di pejabat-pejabat negeri dan atase seluruh dunia.


Beliau memulakan tugas di JIM pada 1 Ogos 2016 selepas dipindahkan daripada SPRM.

Mustafar memegang jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika krisis kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).