Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Sallahuddin Che Ali berkata dadah itu dirampas selepas pihaknya menyerbu sebuah gudang di pelabuhan berkenaan, dan menemukan 166 tong dram berisi bahan larangan itu di dalam dua kontena.
"Pemeriksaan terhadap kedua-dua kontena masing-masing menemukan 83 tong dram berwarna biru bertulisan Paraffin Wax 3-5 peratus mengandungi pepejal mampat berwarna putih kekuningan disyaki dadah jenis methamphetamine," katanya pada sidang media di Balai Polis Port Klang hari ini.
Mat Zani berkata kedua-dua kontena yang dipercayai dari Iran itu sedang dalam perjalanan ke Sydney, Australia, dan pemeriksaan mendapati ia didaftarkan sebagai bahan-bahan memproses barangan kosmetik dan juga lilin.
Beliau berkata kejayaan pembongkaran aktiviti sindiket dadah antarabangsa itu adalah hasil perkongsian maklumat Polis Persekutuan Australia dengan JSJN Bukit Aman, dan ia adalah kejayaan terbesar polis dalam menggagalkan cubaan penyeludupan dadah antarabangsa setakat ini.
"Kami percaya dadah yang boleh digunakan oleh 166 juta penagih ini juga adalah untuk pasaran Australia," katanya, sambil menambah kerjasama sedang dilakukan dengan Polis Persekutuan Australia bagi mengenal pasti sindiket atau organisasi antarabangsa yang terlibat dalam penghantaran dadah berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
