PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan terlalu awal untuk mengklasifikasikan isu pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) sebagai skandal seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Ringkasan AI
  • Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa terlalu awal untuk mengklasifikasikan isu pengurusan HRD Corp sebagai skandal seperti 1MDB. Penelitian lanjut dan perbincangan di Dewan Rakyat diperlukan untuk memahami isu tersebut secara mendalam.
  • Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mendedahkan bahawa RM3.77 bilion daripada kutipan levi oleh HRD Corp digunakan untuk pelaburan yang tidak sesuai dengan matlamat penubuhan agensi tersebut. Tujuan asal agensi adalah untuk penggalakan latihan dan pembangunan tenaga kerja.
  • Fahmi Fadzil menyarankan agar isu ini dibahas di Dewan Rakyat, memberikan peluang kepada ahli Parlimen untuk membincangkan dan kepada Menteri Sumber Manusia untuk menjawab isu tersebut sebelum membuat sebarang klasifikasi tentang skandal.


Beliau yang juga jurucakap kerajaan memaklumkan, pihaknya perlu membuat penelitian lanjut termasuk membahaskan isu itu di Dewan Rakyat.

"Kita belum ada maklumat penuh mengenai isu berkait dengan HRD Corp, tetapi mungkin kita perlu penelitian dahulu seperti memberi ruang kepada ahli Parlimen membahas serta Menteri Sumber Manusia memberikan jawapan di Parlimen.

"Jadi belum masanya untuk kita buat apa-apa klasifikasi seperti didakwa," katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet, hari ini

Khamis lalu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Rakyat mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan matlamat dalam penubuhan agensi itu.

Katanya, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.