Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata kumpulan terakhir jemaah yang akan berlepas ke tanah suci bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu pula pada 30 Mei.
"Sementara itu, untuk penerbangan balik KT pertama adalah pada 14 Jun 2025 bersamaan 18 Zulhijah dan penerbangan akhir pada 10 Julai 2025, insya-Allah," katanya pada sidang media pengumuman kadar agihan keuntungan TH bagi tahun kewangan 2024, di Menara TH di sini hari ini.
Beliau berkata urusan visa haji akan mula diproses pada bulan Syawal dan setakat 19 Mac, sebanyak 93 peratus daripada keseluruhan kuota haji Malaysia pada musim ini sudah dipenuhi, semua bakal jemaah telah menerima tawaran dan lulus pemeriksaan kesihatan.
"Sebanyak tujuh peratus lagi, kami masih menunggu mereka membuat pemeriksaan kesihatan dan seterusnya menjawab tawaran sama ada menerima atau sebaliknya.
"Selagi mana kita masih mempunyai ruang atau tempat untuk bakal jemaah haji mengisikan keseluruhan kuota 31,600, kita masih menerima mana-mana rayuan tapi setakat ini terdapat 84,000 rayuan yang telah masuk ke TH dan kita beri keutamaan kepada rayuan yang diterima," katanya.
Sementara itu, mengenai permohonan Malaysia bagi mendapatkan kuota tambahan, Syed Hamadah memaklumkan kerajaan Arab Saudi belum memberi maklum balas.
Beliau berkata keputusan permohonan kuota tambahan itu lazimnya dimaklumkan oleh kerajaan Arab Saudi pada pertengahan hingga akhir Syawal.
"Kita minta 10,000 kuota tambahan, perkara ini dibuat menerusi surat diutuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi," katanya.
-- BERNAMA
