KUANTAN: Polis meluluskan lebih 200 permohonan permit menjual bunga api dan mercun kepada peniaga di seluruh daerah di Pahang sempena musim perayaan Aidilfitri, tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata daripada jumlah itu, 60 permit penjualan adalah dari Kuantan dan beliau menjangkakan permohonan permit jualan bahan berkenaan akan meningkat pada minggu terakhir Ramadan.

"Bunga api atau mercun yang kita luluskan ini adalah terhad kepada jenis mercun ataupun bunga api boleh dijual, kiranya ia adalah selamat untuk dijual dan dimainkan oleh kanak-kanak. Ini adalah sebahagian daripada langkah pencegahan untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara tidak diingini.

"Buat masa ini, pihak kami belum lagi menerima sebarang laporan kecederaan atau kemalangan membabitkan bermain bunga api mahupun mercun. Selain itu, kami ada juga mendapati pihak yang menjual mercun tanpa permit dan tindakan akan diambil," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas program High Profile Policing dan meninjau bazar Ramadan di Tanjung Lumpur di sini, petang semalam.

Biarpun dijamin selamat, Yahaya berkata pemantauan orang dewasa amat penting dan beliau menasihati ibu bapa untuk tidak membiarkan anak-anak mereka bermain bunga api mahupun mercun tanpa kawalan individu dewasa.

Sementara itu, beliau berkata lebih 5,000 pegawai dan anggota polis di negeri ini akan bertugas seperti biasa pada musim perayaan bagi memantau keselamatan harta benda dan premis selain mengawal kesesakan sempena Aidilfitri.

-- BERNAMA