KUANTAN: Seorang guru wanita kerugian lebih RM160,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon, bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 34 tahun itu, pada mulanya menerima panggilan telefon kononnya wakil bahagian perkhidmatan pelanggan Shopee, yang memberitahu wanita itu telah menjalankan perniagaan di platform tersebut.

Beliau berkata bagi menafikan mangsa menjalankan perniagaan, wanita berkenaan telah diminta membuat laporan di e-reporting Polis Diraja Malaysia.

"Mangsa seterusnya menerima panggilan telefon kononnya polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, sebelum disambung kepada pegawai polis Bukit Aman yang memaklumkan akaun bank mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

"Bagi menyelesaikan hal tersebut, mangsa telah membuat pinjaman peribadi dan menggunakan simpanannya berjumlah lebih RM160,000, serta melakukan 11 transaksi kepada beberapa akaun berbeza yang diberikan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang menyedari ditipu, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Yahaya menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan sebarang dakwaan menerusi panggilan telefon individu tidak dikenali, sebaliknya semak dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA