Menurut buletin perubatan yang dikeluarkan pada sebelah petang, Paus Francis tidak lagi memerlukan "ventilasi mekanikal bukan invasif" dan keperluannya terhadap terapi oksigen aliran tinggi juga semakin berkurangan.
Rawatan itu digunakan beberapa kali terhadap Paus Francis sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Namun, beliau masih menerima bantuan pernafasan secara berselang melalui tiub di hidungnya.
"Terapi fisioterapi motor dan pernafasan menunjukkan kemajuan positif," menurut kenyataan itu.
Selain itu, pejabat akhbar Vatican memaklumkan bahawa radang paru-paru yang dialami oleh pemimpin tertinggi Gereja Katolik itu kini berada dalam keadaan "terkawal."
Paus Francis telah dirawat di hospital di Rom selama lebih sebulan.
Selain radang paru-paru, beliau turut mengalami jangkitan saluran pernafasan akibat pelbagai patogen yang kini "terkawal, meskipun belum sepenuhnya sembuh," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
