KUANTAN: Seorang guru wanita kerugian lebih RM130,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan dan pinjaman tidak wujud menerusi media sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 28 tahun pada mulanya telah berminat menyertai skim pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan menerusi Facebook pada 26 Julai lepas.

Beliau berkata mangsa kemudian telah memuat naik aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan dan mula melabur sebanyak RM550 serta mendapat keuntungan RM400.

"Berdasarkan keuntungan itu, mangsa mula percaya dan melabur hingga RM109,817 dengan membuat 22 transaksi ke 11 akaun berbeza diberikan suspek.

"Suspek seterusnya meminta mangsa membayar RM20,000 untuk menebus keuntungan AS$22,000 daripada pelaburan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata mangsa telah membuat pinjaman berjumlah RM20,000 menerusi Facebook, namun dikenakan bayaran pemprosesan hingga RM20,980 yang telah dibuat menerusi 10 transaksi ke lima akaun bank dari 5 hingga 7 Sept lepas.

Mangsa yang menggunakan sumber kewangan daripada simpanan sendiri selain pinjaman keluarga dan rakannya menyedari ditipu kedua-dua sindiket itu setelah tidak mendapat pulangan pelaburan serta wang pinjaman yang dijanjikan.

"Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

-- BERNAMA