Kementerian Luar menyatakan, lawatan ini bertepatan dengan Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 (ALR) yang dijadualkan pada 7 Januari 2025.
Beliau akan diiringi oleh isterinya, Puan Loo Tze Lui serta Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong bersama beberapa Menteri lain.
"Lawrence akan menghadiri Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya dan seterusnya mengadakan mesyuarat delegasi ALR bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dalam lawatan ini, kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Singapura dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
"Mereka juga akan menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat melibatkan bidang pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan serta penyimpanan karbon, pembangunan bandar dan usaha menangani jenayah rentas sempadan," kata kenyataan itu.
Wisma Putra juga menyatakan, Malaysia dan Singapura terus menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain dengan nilai perdagangan dua hala dari Januari hingga November 2024 mencecah USD78.59 bilion (RM360.12 bilion), meningkat 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
"Lawatan ini juga memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara jiran yang berkongsi hubungan rapat dalam pelbagai bidang," katanya.