PUTRAJAYA: Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah satu inisiatif unik yang melibatkan dua negara bekerjasama untuk menggalakkan pelaburan dan kestabilan.


Ringkasan AI
  • Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah inisiatif unik yang melibatkan dua negara bekerjasama untuk menggalakkan pelaburan dan kestabilan.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menekankan potensi SEZ untuk menarik pelaburan global dan menambah peluang pekerjaan.
  • Kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama JS-SEZ, enam memorandum persefahaman (MoU), dan satu surat niat (LOI) mengenai pelbagai bidang termasuk pendidikan, perubahan iklim, dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan yang akrab, kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas adalah kekuatan utama yang bakal menjadi insentif yang paling menarik untuk pelabur.

“SEZ ialah inisiatif unik yang jarang ditemui, dua negara bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Anda tidak dapat melihat di mana-mana bahagian dunia di mana dua negara memutuskan untuk bekerjasama, mempromosikan kedua-dua negara dan memanfaatkan pelaburan.

“Kami mempunyai hubungan yang kompak, negara dan kerajaan adalah stabil dari segi politik, dengan kejelasan dan dasar ekonomi serta kedudukan yang jelas, dasar untuk menarik pelaburan.

“Bukan itu sahaja, tetapi selektif dalam erti kata pelaburan yang kami fikir akan mempengaruhi permintaan dan arahan masa hadapan.

“Saya fikir itu sendiri adalah insentif yang hebat selain daripada insentif kewangan atau infrastruktur lain,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, yang berkunjung ke negara ini untuk menghadiri mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura.

Senada dengan Anwar, Wong berkata, potensi dan tarikan SEZ terletak pada perniagaan Singapura dan Johor yang bekerjasama untuk menarik projek pelaburan global, mempromosikan rantau ini sebagai destinasi gabungan, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan global.

“Saya fikir potensi yang lebih besar untuk SEZ bukan hanya mengenai perniagaan Singapura yang akan ke Johor, tetapi ia mengenai kedua-dua pihak, bekerjasama untuk menarik projek pelaburan baharu di seluruh dunia.

“Jika kita boleh bersatu, kita berhasrat untuk memasarkan SEZ bersama-sama, promosikan SEZ sebagai destinasi gabungan, Johor, Singapura bersama-sama.

“Mudah-mudahan, ini akan membolehkan kita menarik lebih banyak pelaburan global ke negara masing-masing, menambah peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam memorandum persefahaman (MoU) serta satu surat niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, dan juga usaha memerangi jenayah rentas sempadan.