Beliau berkata ia juga bertujuan memastikan bekalan air negeri terjamin memandangkan sektor industri semakin berkembang melalui inisiatif ekonomi berimpak tinggi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Bagi memastikan kelestarian bekalan air, beberapa inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang sedang dan akan dilaksanakan. Inisiatif yang dimaksudkan termasuk rezoning dan pembinaan TAPS di Sungai Johor, Sungai Pontian Besar dan Sungai Sedili Besar.
"Johor dan Kerajaan Persekutuan komited dalam memastikan projek bekalan air yang terjamin dan projek tebatan banjir dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan Bangsa Johor," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air atas kesudian menerima delegasi Kerajaan Negeri Johor di Putrajaya bagi membincangkan isu bekalan air dan projek tebatan banjir negeri.
Onn Hafiz berkata keperluan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) melibatkan hampir seluruh daerah di Johor turut dibentangkan dalam pertemuan itu.
"Antaranya projek tebatan banjir di Segamat, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Johor Bahru dan Kota Tinggi, bagi memastikan sistem pengurusan banjir lebih berkesan serta mengurangkan risiko bencana kepada penduduk dan ekonomi setempat," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam memastikan pembangunan negeri ini lebih mampan dan berdaya tahan.
"Oleh itu kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan semua projek tebatan banjir dan infrastruktur air dapat disiapkan mengikut jadual dan memberikan manfaat maksimum kepada rakyat.
"Semoga setiap usaha ini berjalan lancar dan membawa perubahan positif kepada Bangsa Johor, bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup," katanya.
-- BERNAMA
