Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerumitan isu-isu tersebut menuntut pendekatan yang lebih holistik dan komprehensif untuk menanganinya.
Jelas Anwar, biarpun berdepan cabaran, namun isu-isu tersebut tidak mengganggu pendirian kedua-dua negara dalam sektor terpenting seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan.
"(Isu-isu) ini tidak sama sekali mengganggu sikap atau pendirian positif kami mengenai perkara asas; ekonomi, tenaga, digital, pelaburan atau perdagangan. Pada saya, sikap positif ini perlu diteruskan.
"(Masalah-masalah ini) telah berlaku sejak beberapa dekad yang lalu, saya rasa kita tidak perlu menunggu beberapa dekad akan datang (untuk menyelesaikannya)," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, yang berkunjung ke negara ini untuk menghadiri mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura.
Sementara itu, Wong mengakui ada kemajuan yang telah dicapai dalam perbincangan berhubung isu-isu berkenaan, namun dalam masa yang sama menekankan bahawa ia adalah isu kompleks dan tidak boleh diselesaikan dengan mudah.
Tambahnya, beliau dan Anwar komited sepenuhnya untuk memastikan perbincangan dijalankan dengan niat baik, membina dan bersifat holistik.
"(Kami mahu) pastikan isu-isu tertunggak ini tidak menjejaskan hubungan kami secara keseluruhan. Itulah sebabnya kami masih boleh bergerak ke hadapan dengan projek menang-menang positif seperti SEZ dan RTS Link.
"Jadi kita tidak mahu isu-isu ini, walaupun terdapat perbezaan pandangan, menghalang kita daripada melaksanakan projek positif yang boleh dilakukan bersama," katanya.