GENEVA: Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Isnin melahirkan rasa terkejut dan kebimbangan berhubung penemuan dua kubur besar di Libya yang mengandungi mayat puluhan migran, lapor Anadolu Ajansi.

Agensi PBB itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 19 mayat, sebahagiannya dengan kesan tembakan ditemui di Jikharra, kira-kira 440 kilometer tenggara Benghazi.

Selain itu, sekurang-kurangnya 30 lagi mayat ditemui dalam sebuah kubur besar di padang pasir Al-Kufra di tenggara negara itu.

Agensi berkenaan mendakwa kubur kedua berkemungkinan mengandungi sehingga 70 mayat.

Menurut IOM, kewarganegaraan dan punca kematian mereka masih belum diketahui, dan lokasi kubur itu ditemukan berikutan serbuan polis yang berjaya menyelamatkan ratusan migran daripada sindiket pemerdagangan manusia.

"Kehilangan nyawa ini adalah satu lagi peringatan tragis mengenai bahaya yang dihadapi oleh migran ketika memulakan perjalanan berisiko tinggi," kata Ketua Misi IOM Libya, Nicoletta Giordano.

"Terlalu ramai migran mengalami eksploitasi, keganasan dan penderaan yang teruk, menekankan keperluan untuk mengutamakan hak asasi manusia serta melindungi mereka yang berisiko."

IOM turut mengalu-alukan usaha pihak berkuasa Libya menyiasat kematian itu dan menggesa mereka memastikan proses pemulihan, pengecaman dan pemindahan mayat dilakukan dengan bermaruah, selain memaklumkan serta membantu keluarga mangsa.

Mac lepas, 65 mayat migran ditemukan dalam sebuah kubur besar di barat daya Libya.

Menurut Projek Migran Hilang IOM, daripada 965 kematian dan kehilangan yang direkodkan di Libya pada 2024, lebih 22 peratus berlaku di laluan darat.

"IOM menggesa semua kerajaan dan pihak berkuasa di sepanjang laluan ini untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha melindungi migran, tanpa mengira status mereka, pada setiap peringkat perjalanan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA