PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong yang sedang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, dalam majlis makan tengah di Seri Perdana di sini.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana.
  • Kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran perjanjian bersama mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan enam memorandum persefahaman dalam pelbagai bidang.
  • Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM360.12 bilion dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.


Menyertai majlis makan tengah hari itu adalah 60 murid Tahun Enam dari Sekolah Kebangsaan Presint 18 (1).

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Wong dan delegasinya, tiba di Malaysia semalam bagi lawatan rasmi dua hari untuk menghadiri sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11,

Terdahulu, Wong telah diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti dengan pertemuan dengan Anwar.

Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan pertukaran perjanjian bersama mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam memorandum persefahaman dalam bidang mengenai wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, memerangi jenayah rentas negara dan pendidikan tinggi, serta satu Surat Niat mengenai pendidikan,

Inisiatif JS-SEZ bertujuan untuk memberikan manfaat bersama kepada perniagaan dan rakyat dari kedua-dua negara, termasuk meningkatkan aliran barang dan orang, memudahkan urusan perniagaan, serta menyokong perkembangan bakat.

Sebagai jiran rapat dan anggota pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan yang lama, luas, dan pelbagai bidang.

Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM360.12 bilion (US$78.59 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

-- BERNAMA