Ringkasan AI
- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 dan berlepas pulang hari ini.
- Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membuka semula perbincangan mengenai isu-isu berlarutan seperti pembekalan air, persempadanan maritim, dan ruang udara.
- Kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU), dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pelbagai bidang.
Wong diberikan upacara pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormatan setempat oleh pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Kapten Muhammad Iskandar Dzulkarnein Doa Hassan di Kompleks Bunga Raya di sini.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyampaikan album khas kepada Wong yang mengandungi gambar-gambar sepanjang lawatan beliau ke Malaysia.
Penerbangan Malaysia Airlines yang membawa Wong, isterinya Loo Tze Lui dan delegasi berlepas ke Singapura pada 5.20 petang.
Ini merupakan lawatan kali kedua Wong ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada 15 Mei tahun lepas iaitu lawatan pertama pada 11 Jun.
Pagi tadi, Wong mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Susulan pertemuan itu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membuka semula perbincangan mengenai isu-isu yang telah lama berlarutan seperti isu pembekalan air, persempadanan maritim dan ruang udara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama selepas mesyuarat delegasi sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura berkata pasukan teknikal akan membincangkan perkara berhubung parameter isu-isu berkenaan.
Beliau berkata Malaysia dan Singapura akan menangani secara holistik beberapa perkara yang dituntut kedua-dua negara bagi penyelesaian muktamad dan mencapai keputusan menang-menang.
Selain itu, Anwar berkata eksport tenaga elektrik Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura turut dibincangkan dengan rakan sejawatannya itu.
Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Malam tadi, Anwar meraikan Wong dalam majlis makan malam di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur disusuli perbincangan empat mata secara tertutup.
Sebagai jiran rapat dan anggota pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang.
Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah US$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA