Ringkasan AI
- Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 6 dan 7 Januari 2025, sebagai sebahagian daripada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11.
- Ketibaan Wong disambut di Kompleks Perdana Putra, diikuti dengan mesyuarat bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membincangkan hubungan dua hala.
- Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran dokumen penting termasuk Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan enam memorandum persefahaman dalam pelbagai bidang.
Ketibaannya disambut Anwar pada jam 9.50 pagi tadi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Wong kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Ini merupakan lawatan kali kedua Wong ke Malaysia sejak menjawat jawatan itu pada 15 Mei 2024. Lawatan pertamanya pada 11 Jun tahun lalu.
Anwar malam tadi meraikan rakan sejawatannya itu dalam satu majlis makan malam di Rumah Tangsi dan turut mengadakan perbincangan empat mata secara tertutup selama hampir dua jam, berkaitan usaha meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Mesyuarat tahunan itu yang masuk tahun ke-11 menyediakan platform utama bagi para pemimpin untuk menetapkan hala tuju keseluruhan bagi kerjasama dua hala, dan mengenal pasti cara untuk meningkatkan kesalinghubungan bagi memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin akan meneruskan usaha konstruktif ke arah mengurus isu dua hala yang tertunggak, dengan mengambil kira saling kebergantungan yang berterusan dan komitmen bersama terhadap hubungan yang berpandangan ke hadapan.
Kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam memorandum persefahaman (MoU) serta satu surat niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, dan juga usaha memerangi jenayah rentas sempadan.