PESAKIT kanser secara umumnya berisiko dijangkiti COVID-19, terutama mereka yang sedang dan telah menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi kerana rawatan ini menyebabkan penurunan tahap imunisasi badan.
Beberapa jenis kanser seperti limfoma dan leukemia menyerang tulang sumsum dan sel-sel darah yang penting untuk sistem imuniti, menyebabkan para pesakit lebih mudah dijangkiti.
Justeru, pesakit kanser mesti mematuhi sungguh-sungguh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mengamalkan disiplin tinggi dengan mengikuti setiap arahan doktor dan sentiasa menjaga kebersihan.
Bagi pesakit, kebimbangan pastinya meningkat ketika pandemik COVID-19 ini kerana secara umumnya, rawatan penyakit kanser di hospital-hospital kerajaan dan swasta akan terjejas disebabkan beberapa faktor. Perkara ini, ditambah dengan modifikasi terhadap rawatan dan pemeriksaan pesakit oleh hospital sekarang ini.
Kebanyakan hospital kerajaan dipersiapkan untuk menampung pesakit COVID-19 dan mengurangkan perkhidmatan elektif dan bukan kecemasan seperti rawatan klinik, pembedahan elektif, dan rawatan harian. Ini bagi memberi ruang daripada segi katil di wad, penyaluran sumber manusia dan kewangan serta fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ventilator untuk rawatan pesakit COVID-19. Hospital dan klinik juga berusaha mengurangkan kedatangan pesakit dan pelawat bagi mengurangkan risiko jangkitan virus.
Beberapa perubahan dilaksanakan oleh hospital seperti penangguhan temujanji dan rawatan yang tidak mendesak, termasuk pembedahan elektif. Kebanyakan hospital juga melaksanakan perhubungan dengan pesakit melalui panggilan telefon, pesanan ringkas dan WhatsApp serta perundingan secara atas talian melalui “video-conference” bagi bertanyakan perkembangan pesakit, serta penyaluran nasihat dan maklumat penting. Proses ini penting, bagi memastikan kebimbangan pesakit dapat disuarakan, keadaan semasa mereka dapat dinilai seterusnya untuk merangka langkah penyelesaian.
Pesakit dan keluarga bagaimanpaun perlu memahami bahawa rawatan bagi kes-kes kecemasan, termasuk akibat kanser dan komplikasi rawatannya tetap diteruskan di klinik dan hospital. Mereka perlu hadir ke hospital dengan mematuhi arahan PKP yang ditetapkan, termasuk hanya seorang pengiring dan membawa dokumen seperti kad hospital sebagai bukti.
Pasukan perawat terdiri daripada pakar onkologi, pakar bedah, ahli radioterapi, ahli farmasi dan pakar paliatif juga sentiasa berbincang untuk menyesuaikan rawatan pesakit kanser secara individu.
Antara penyesuaian yang boleh dirangka adalah memendekkan tempoh radioterapi dan kemoterapi dengan pengubahsuaian dos, pertukaran jenis dan jadual kemoterapi bagi mengurangkan kedatangan ke hospital, menangguhkan pembedahan dengan digantikan dengan kemoterapi atau radioterapi, serta pembekalan ubatan secara pos atau pengambilan di klinik kesihatan. Semua pilihan ini dibincangkan dengan pesakit dan ahli keluarga.
Pesakit kanser perlu mematuhi dengan sungguh-sungguh arahan PKP dengan tidak keluar rumah serta mengurangkan berhubung dengan orang lain, termasuk ahli keluarga. Penjarakan sosial amat penting bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, dan virus lain seperti influenza, yang akan menyebabkan kemungkinan pesakit perlu hadir ke hospital atau klinik.
Jika sesuai, aktiviti pembelian barangan keperluan harian dilakukan oleh orang lain seperti ahli keluarga yang tinggal berhampiran, atau jiran dan barangan ditinggalkan di luar rumah. Pilihan lain adalah seperti penghantaran barang melalui pembelian atas talian. Amalkan amalan kerap mencuci tangan di rumah, elakkan menyentuh muka serta tidak menggunakan tuala dan kain lap yang sama.
Berbincanglah dengan pasukan perawat anda, mengenai langkah ubahsuai rawatan dan temujanji. Jika perlu hadir ke klinik atau hospital untuk rawatan, amalkan penjarakan sosial, penutup hidung dan mulut serta kerap mencuci tangan menggunakan “hand sanitizer”.
Pesakit juga boleh berbincang dengan pasukan perawat untuk memindahkan rawatan ke hospital atau klinik berdekatan rumah, serta kurang sesak contohnya hospital swasta atau hospital daerah jika rawatan yang diperlukan dapat disediakan.
Bagi menangani kegusaran dan kerisauan, berbincanglah dengan pasukan perawat. Pesakit juga dinasihatkan agar kurang melayari media sosial dan laman web tidak rasmi bagi mengurangkan perasaan cemas dan kerisauan yang tidak sepatutnya. Sebaliknya, dapatkan maklumat daripada pihak berwajib seperti sumber Kementerian Kesihatan Malaysia dan laman web rasmi organisasi kesihatan.
*Dr. Ahmad Shuib Yahaya adalah Pensyarah Perubatan, Jabatan Obstetrik & Ginekologi Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, UPM
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.