KUALA LUMPUR: Teknologi pascapandemik COVID-19 membuka pelbagai peluang untuk inovasi dan kemajuan, tetapi ia juga membawa cabaran besar terhadap masa depan pekerjaan dan modal insan.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zeteo, Mehdi Hasan, dalam menghadapi cabaran ini, penting untuk mencari keseimbangan antara kemajuan teknologi dan perlindungan pekerja.

"Pengawalseliaan yang tepat dan pengawasan yang bertanggungjawab adalah kunci untuk memastikan teknologi terus membawa manfaat tanpa menjejaskan kesejahteraan masyarakat," kata Mehdi.

Tambahnya, isu ini menjadi lebih rumit kerana ramai pemain besar dalam industri teknologi cenderung kepada pendirian libertarian.

"Ramai pemain besar dalam industri teknologi tidak gemar sebarang bentuk pengawalan

"Jutawan teknologi yang cenderung kepada pandangan libertarian, menentang campur tangan kerajaan, mereka menolak idea pengawalseliaan, cukai yang lebih tinggi, atau sebarang bentuk penglibatan kerajaan dalam perniagaan mereka

"Ini kerana mereka percaya bahawa inovasi teknologi harus dibiarkan bebas daripada sebarang batasan untuk berkembang dengan lebih pesat," tambah pengasas Zeteo itu.

Mehdi berkata, jika teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dibiarkan berkembang tanpa pengawasan, ia berpotensi untuk mendatangkan kesan negatif yang luas, termasuk penggantian pekerja dan pengurangan peluang pekerjaan dalam sektor-sektor kritikal.

Kata Mehdi, dalam era teknologi semakin menjadi tulang belakang ekonomi global, penting untuk mempunyai agenda, baik di peringkat global mahupun nasional, untuk memastikan penggunaan AI secara beretika.

"Ini termasuk mencari cara bagaimana kita boleh mengintegrasikan AI dalam pelbagai industri media, kewangan, perkilangan, dan banyak lagi dalam cara yang bukan sahaja cekap, tetapi juga memastikan bahawa teknologi ini tidak memusnahkan modal insan, sebaliknya, memperkasakannya," katanya.

Mehdi yang juga wartawan British-Amerika terkenal selain penyiar, penulis, dan pengulas yang telah memenangi pelbagai anugerah berkata demikian ketika ditemu bual pada Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC)


Tech talk: A conversation with Mehdi Hasan