Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata koridor berkenaan akan melibatkan pembangunan di kawasan sempadan membabitkan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
"Sesi perbincangan bersama Menteri Besar Johor dan Negeri Sembilan telah diadakan pada 11 Sept lepas, antara projek-projek yang akan menjadi keutamaan ialah pembinaan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat, Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Jelapang Padi Selatan.
"Selain itu, pembangunan zon ekonomi seperti Maharani Energy Gateway, Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka dan Pelabuhan Kontena Pintar Kecerdasan Buatan di Port Dickson, Negeri Sembilan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) yang bertanya mengenai status cadangan Koridor Ekonomi Anjung Selatan dan jenis pembangunan yang akan dibina di kawasan berkenaan.
Ab Rauf berkata Bengkel Pembangunan Koridor Ekonomi Anjung Selatan diadakan pada 16 hingga 18 Dis lepas sebagai medan kepada pihak berkepentingan dan wakil kerajaan ketiga-tiga negeri untuk berkumpul serta memperincikan terma rujukan pembangunan koridor itu.
Beliau berkata pewujudan koridor itu dijangka akan melengkapkan pembangunan infrastruktur dan meningkatkan ekonomi negeri melalui pelbagai sektor termasuk perindustrian, pertanian dan pelancongan bagi ketiga-tiga negeri.
Ab Rauf memberitahu antara yang dibincangkan dalam bengkel pembangunan itu juga adalah menyenaraikan projek-projek yang telah, sedang dan dalam perancangan kerajaan negeri dan Persekutuan, yang berada dalam radius lima hingga 10 kilometer dari sempadan Melaka dan Johor serta sempadan Melaka dan Negeri Sembilan.
"Semua cadangan projek pembangunan daripada pihak berkepentingan akan diselaraskan bagi permohonan projek dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Kerajaan Persekutuan," katanya.
-- BERNAMA