Pengarah Bahagian Kesihatan Digital, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Maheshwara Rao Appannan, berkata, aplikasi MySejahtera kini telah diubah menjadi platform kesihatan awam yang komprehensif, digunakan hampir 10 juta individu setiap bulan.
“MySejahtera tidak lagi hanya untuk COVID-19. Ia kini mempunyai modul janji temu untuk klinik pergigian dan kesihatan, serta fungsi seperti MyMinda yang menggunakan kecerdasan buatan untuk membantu individu dengan masalah kemurungan atau kebimbangan,” katanya.
Tambahnya, visi Malaysia untuk memiliki satu rekod kesihatan bagi setiap rakyat semakin hampir direalisasikan dengan integrasi rekod pergigian dan perubatan ke dalam aplikasi tersebut.
Dalam konteks perlindungan data, Dr. Maheshwara menegaskan bahawa sebarang pengumpulan atau perkongsian data harus mematuhi perundangan sedia ada.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam aspek keselamatan data, terutamanya data kesihatan. Kita harus memastikan kita mempunyai segala guard rail, semua ciri-ciri keselamatan dan kita amat tekankan perkara ini dalam setiap projek digital yang kita lakukan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kerjasama Ekonomi, Maklumat, dan Pos, Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia (KOMDIGI), Dian Wulandari, menyeru kepada kolaborasi serantau untuk memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital ASEAN.
“Kami terbuka untuk sebarang kolaborasi, sama ada di peringkat dalaman atau bersama rakan dialog, dalam menghadapi cabaran teknologi baharu seperti AI. Teknologi bukan sahaja mendorong kemajuan ekonomi digital, tetapi harus memastikan tiada pihak yang tercicir,” kata Dian.
Beliau turut menekankan keperluan membangunkan program yang melibatkan kapasiti latihan dan pembinaan keupayaan serantau.
“Langkah pertama ialah menyediakan latihan dan pembinaan keupayaan. Selepas itu, kita boleh menjalin kolaborasi yang lebih bermakna untuk memastikan manfaat teknologi dapat dirasai oleh semua,” tambahnya.
IRC 2025 anjuran oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang berlangsung selama dua hari melabuhkan tirainya hari ini dengan kejayaan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam mendepani cabaran era teknologi baharu.
Dengan tema Leap into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era, persidangan ini menyaksikan penglibatan seramai 1,200 peserta terdiri daripada pemimpin, pakar, dan pembuat dasar dari serata dunia untuk membincangkan cabaran pengawalseliaan teknologi moden.