KUALA LUMPUR: Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka tirai secara rasmi hari ini.


Ringkasan AI
  • Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 yang dianjurkan oleh MCMC membuka tirai secara rasmi, dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menekankan kepentingan pengawalseliaan dalam mengimbangi inovasi dengan perlindungan pengguna.
  • Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menyuarakan komitmen untuk menyelaraskan peraturan serantau dan memperkenalkan langkah proaktif seperti kod tingkah laku untuk penyedia media sosial.
  • Persidangan selama dua hari ini membincangkan pelbagai isu termasuk keselamatan siber, privasi data, dan tadbir urus media sosial, dengan tema Leap into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era.


Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menekankan kepentingan pengawalseliaan dalam mengimbangi inovasi dengan perlindungan pengguna.

Menurut beliau, persidangan ini memberi peluang untuk meneroka cabaran-cabaran dalam menuju revolusi digital yang selamat, mampan, dan seimbang.

“Pengawalseliaan teknologi baharu perlu imbangi inovasi dan perlindungan pengguna. Membina kepercayaan dalam ekosistem digital adalah kritikal.

“Teknologi seperti internet satelit dan rangkaian dipacu AI sedang mengubah idea keboleh­sambungan.

"Kita perlu teliti bagaimana untuk mengimbangi kemajuan teknologi dengan perlindungan pengguna yang mantap,” kata Fahmi.

xxx

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut menyuarakan komitmen untuk menyelaraskan peraturan serantau, serta memperkenalkan langkah proaktif seperti kod tingkah laku untuk penyedia media sosial.

Fahmi juga menegaskan perlunya kerjasama global untuk memastikan teknologi tidak disalahgunakan.

“Kepengerusian ASEAN memberikan kita peluang untuk mempromosi peraturan yang diselaraskan di seluruh rantau bagi memaksimumkan manfaat kemajuan teknologi untuk lebih 700 juta warga.

“Ia juga memberi ruang untuk memimpin perbincangan berkaitan tadbir urus telekomunikasi dan multimedia beretika, memastikan ASEAN kekal di barisan hadapan kemajuan teknologi global,” jelas beliau.

Persidangan selama dua hari ini membincangkan pelbagai isu, termasuk keselamatan siber, privasi data, dan tadbir urus media sosial.

Dengan tema ‘Leap into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era,’ persidangan ini dijangka menjadi platform penting untuk membentuk strategi pengawalseliaan global yang lebih progresif.