Pengenalan undang-undang itu merupakan usaha pihak berkuasa untuk menangani peningkatan penyebaran imej seperti ini yang kebanyakannya mensasarkan wanita dan kanak-kanak perempuan.
"Deepfake" ialah video, gambar atau klip audio yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk kelihatan seperti benar.
Teknologi ini sering disalahgunakan untuk memanipulasi imej lucah agar menyerupai seseorang tanpa kebenaran.
Pada 2015, Britain telah mengklasifikasikan penerbitan foto atau video intim tanpa persetujuan dan bertujuan menyebabkan tekanan emosi yang dikenali sebagai "revenge porn" sebagai perbuatan jenayah.
Bagaimanapun, undang-undang tersebut tidak meliputi imej yang dipalsukan.
Data daripada sebuah pertubuhan yang menangani masalah jenayah porno di United Kingdom menunjukkan penyalahgunaan imej berbentuk deepfake telah meningkat lebih daripada 400 peratus sejak 2017.
Di bawah kesalahan baharu ini, kerajaan akan membolehkan pendakwaan terhadap individu yang menghasilkan dan menyebarkan imej sedemikian.
"Tidak ada alasan untuk mencipta ‘deepfake’ berunsur lucah terhadap seseorang tanpa kebenaran mereka," kata Kementerian Kehakiman dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Kerajaan Konservatif sebelum ini telah mencadangkan langkah yang serupa sebelum kehilangan kuasa kepada parti Buruh pada Julai lalu.
Dalam cadangan itu, pesalah boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.
Kementerian Kehakiman turut memberitahu, maklumat lanjut mengenai kesalahan ini akan diumumkan kemudian.
Sebagai tambahan, kerajaan merancang memperkenalkan undang-undang baharu untuk mensabitkan kesalahan bagi mereka yang merakamkan gambar intim tanpa persetujuan serta pemasangan peralatan dengan niat untuk melakukan kesalahan tersebut.
Pesalah yang berbuat demikian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.
"Perbuatan keji dan merendahkan seperti ini tidak boleh dinormalisasi," kata Menteri Mangsa, Alex Davies-Jones.
Menteri Teknologi, Margaret Jones turut memberi amaran bahawa platform teknologi yang membuka ruang kepada penyebaran imej penyalahgunaan ini akan dikenakan kawalan lebih ketat selain denda yang berat.
"Penyalahgunaan imej intim adalah kecemasan nasional yang menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada wanita dan kanak-kanak perempuan, yang kehilangan kawalan terhadap identiti digital mereka akibat misoginis dalam talian," kata aktivis Jess Davies.
Kesalahan baharu ini akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Jenayah dan Kepolisan kerajaan yang akan dibawa ke Parlimen, walaupun tarikh pelaksanaannya belum ditetapkan. - Reuters