Ringkasan AI
- Pendedahan dan Pendidikan AI: Peniaga kecil perlu diberi gambaran yang tepat mengenai keupayaan AI untuk mentransformasi perniagaan mereka dan menghapuskan stigma negatif.
- Program Pengenalan Model Perniagaan: Lebih banyak program pendedahan dan pengenalan model perniagaan negara maju kepada usahawan tempatan perlu dilakukan.
- Perubahan Pasaran Pekerjaan: Menurut laporan WEF, kemajuan teknologi seperti AI akan mencipta 170 peranan baharu dan meningkatkan jumlah pekerjaan bersih sebanyak 78 juta menjelang 2030.
Timbalan Dekan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Subramaniam Sri Ramalu berkata, lebih banyak program pendedahan dan pengenalan model perniagaan negara maju kepada usahawan tempatan perlu dilakukan.
“Dalam konteks peniaga-peniaga kecil, saya fikir mereka perlu diberikan pendedahan. Kita seolah-olah diberikan satu informasi yang tidak tepat mengenai kecerdasan buatan (AI) yang terpalit dengan stigma iaitu AI akan menyebabkan kita hilang pekerjaan dan memaksa perniagaan ditutup.
“Ini menyebabkan masyarakat seolah-olah menolak perubahan ini. Sebenarnya, itu tidak benar. Mereka mungkin tidak diberikan pendedahan, tidak ditunjukkan bukti dan model perniagaan luar negara yang berjaya diangkat daripada tahap mikro, seterusnya menjadi empayar perniagaan susulan adaptasi AI,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Menurut Laporan "The Future of Jobs Report 2025" yang diterbitkan hari ini oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Kira-kira 170 peranan baharu dijangka diwujudkan dan 92 juta pekerjaan akan terjejas menjelang 2030 selain menghasilkan peningkatan bersih sebanyak 78 juta pekerjaan baharu.
Laporan itu berkata, kemajuan teknologi, perubahan demografi, ketegangan geoekonomi dan tekanan ekonomi adalah pemacu utama terhadap perubahan ini yang mengubah semula industri dan profesion di seluruh dunia.