KUALA LUMPUR: Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) perlu dipinda dengan memasukkan peruntukan yang menghalang organisasi daripada mengenakan tindakan balas terhadap pengadu. 


Ringkasan AI
  • Perlindungan Pengadu: Cadangan untuk memasukkan peruntukan yang menghalang organisasi daripada mengenakan tindakan balas terhadap pengadu.
  • Pekerja berpangkat rendah sering menjadi mangsa gangguan seksual oleh pegawai berpangkat tinggi.
  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan pindaan untuk memperbaiki akta ini dalam menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.


Pensyarah Kanan Program Pengajian Gender Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Dr. Lai Suat Yan berkata ini bagi memastikan pengadu lebih berani dan bersedia untuk tampil melaporkan insiden yang terjadi.

“Maka penting untuk ada satu klausa yang tidak membenarkan tindakan dikenakan keatas individu yang melaporkan insiden gangguan seksual. Ini bagi memastikan mangsa berani untuk melaporkan insiden berkenaan dan tidak bimbang sebarang tindakan akan dikenakan keatas mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Jelas Suat Yan, berlaku situasi gangguan seksual melibatkan pekerja berpangkat rendah yang dimangsakan oleh pegawai dengan pangkat yang lebih tinggi. 

Menurutnya, dalam senario itu pengadu akan cenderung untuk tidak melaporkan insiden gangguan seksual yang terjadi.

“Pekerja bawahan itu akan rasa bimbang, jika dia melaporkan insiden gangguan seksual itu, dia akan dipersalahkan. Bukan itu sahaja, jika mangsa membuat laporan dibimbangi tindakan akan dikenakan ke atas diri mereka, bukannya pemangsa. Contohnya, mereka akan dibiarkan tanpa tugasan,” tambahnya.

Pada Ahad, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan agar Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), dipinda untuk ditambah baik dalam menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.

Sebelum ini, akta berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Okt tahun lepas dan diwartakan 18 Okt tahun yang sama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, di bawah akta itu, tindakan hanya boleh diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan sahaja.