TENOM: Seorang saksi dalam perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa telefon milik pengadu telah membuat 15 panggilan telefon kepada nombor telefon milik pendakwah tersebut.

Bekas Juruanalisa Forensik Digital, CyberSecurity Malaysia Muhammad Umar Shahbudin, 32, selaku saksi ke-14 kes berkenaan berkata maklumat itu diperoleh menerusi analisis terhadap log panggilan yang terdapat dalam telefon milik pengadu itu.

Beliau berkata menerusi analisis itu juga terdapat lima panggilan telefon diterima dan satu panggilan telefon tidak diangkat daripada nombor telefon milik Lew.

"Dapat disahkan bahawa terdapat 21 log panggilan telefon (dalam telefon pengadu) dengan nombor itu (telefon milik Lew)," katanya dalam kenyataan bertulis bagi menjawab pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi.

Saksi berkata telefon yang dianalisis itu adalah satu daripada lima barang kes diterima beliau pada 27 Okt 2021 yang terdiri daripada dua telefon bimbit, kad sim, kad memori dan kad sim Unifi.

Muhammad Umar berkata barang kes itu diletakkan dalam dua sampul surat yang mempunyai logo CyberSecurity Malaysia dan kesemua maklumat dalam barang kes itu telah direkodkan oleh Ketua Jabatan, Jabatan Forensik Digital, CyberSecurity Malaysia Tajul Josalmin Tajul Ariffin yang juga saksi ke-13 kes itu.

Muhammad Umar berkata beliau mengambil masa satu minggu untuk menjalankan analisis barang kes tersebut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat pada 26 Nov 2021.

Terdahulu, Tajul Josalmin, 41, dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaraya Noor Azizah Mohamad berkata beliau telah menerima barang kes berkenaan pada 26 Nov 2021 daripada Pengawai Penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) DSP Noor Asyikin Shamsuri.

Beliau berkata Noor Asyikin membuat permohonan kepada pihak CyberSecurity Malaysia untuk mengeluarkan maklumat pemilik akaun aplikasi Instagram, mengeluarkan butiran perbualan daripada aplikasi Instagram, mengeluarkan log panggilan serta mengeluarkan butiran perbualan daripada aplikasi Whatsapp.

Pada 3 Sept tahun lepas, saksi ke-10, Jurufoto PDRM Detektif Koperal Shahrul Sanudin, 38, dan saksi ke-11, Jurufoto PDRM Detektif Koperal Husni Haris Ramli@Fauzi, 34, telah memberi keterangan di mahkamah manakala saksi ke-12 Jurufoto PDRM Detektif Koperal Andria Anak Empeny, 32, memberi keterangan pada 9 Dis tahun lepas.

Ebit Lew, 39, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa menerusi aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani disambung esok.

-- BERNAMA