Sebaliknya, Alumni Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial menerusi satu kenyataan, mendakwa setiap seorang penuntut daripada lima penuntut IPT itu pernah mengalami gangguan seksual.
Namun, menurut kenyataan berkenaan, hanya 11.1 peratus daripada jumlah itu yang tampil membuat pendedahan untuk tindakan.
"Bahkan, sejak beberapa tahun lepas, terdapat beberapa kenyataan berhubung kes gangguan seksual, salah laku dan eksploitasi yang tular melibatkan pelajar dan staf universiti, namun hanyalah sebahagian yang dilaporkan.
"Situasi ini disebabkan ketakutan memandangkan status mereka sebagai pelajar dan ketidakyakinan pada komitmen UM dalam menangani isu ini sebaiknya.
"Kes gangguan dan eksploitasi seksual ini menunjukkan betapa normalnya budaya rogol dan eksploitasi seksual ke atas pelajar dan betapa tidak selamatnya kampus universiti ini," dakwa kenyataan itu di sini, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Alumni Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial menyatakan solidariti dengan semua pemandiri gangguan seksual di UM dan menggesa universiti membuat tindakan segera yang tegas dengan mengesyorkan 10 tuntutan seperti berikut:
- Kami mendesak penggantungan tugas segera terhadap mana-mana anggota fakulti yang dituduh dengan bukti yang kukuh sejurus selepas laporan dikemukakan. Tindakan ini penting untuk melindungi keamanan dan keselamatan pelajar lain sepanjang penyiasatan dilaksanakan.
- Meneliti semula dan menambah baik Kod Bebas Eksploitasi Penganiayaan dan Gangguan Seksual (KOD) supaya berfokus untuk melindungi dan memberdaya pemandiri (survivor-centric) dan bukannya melindungi reputasi universiti atau orang kena tuduh tersebut. Antara penambahbaikan utama yang perlu dilakukan adalah mempercepat jangka masa proses aduan serta siasatan. Proses penelitian dan penambahbaikan Kod ini wajib melibatkan wakil dan badan pelajar berkaitan.
- Kami mendesak supaya identiti pesalah laku seksual dikenal pasti dan dihebahkan secara umum sebagai mekanisme perlindungan kepada komuniti pelajar. Tindakan ini adalah langkah pencegahan dan tanda keseriusan universiti dalam menangani jenayah seksual di IPT.
- Kami menuntut ketelusan penuh berhubung hasil siasatan semua aduan kes gangguan seksual. Seluruh laporan penuh siasatan perlu dihebahkan secara umum memandangkan status UM ialah universiti awam. Siasatan juga wajib melibatkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Penglibatan polis juga penting jika dipersetujui oleh pemandiri.
- Satu pejabat hal ehwal gangguan seksual atau ombudsman yang bebas ditubuhkan di universiti. Pejabat ini perlu berfungsi dengan autonomi sendiri tanpa terikat dengan pentadbiran universiti bagi memastikan kesaksamaan dalam menguruskan aduan berkaitan.
- Memberikan khidmat dan akses ujian kesihatan fizikal dan mental yang diperlukan pemandiri (survivor) kes salah laku seksual dengan kadar segera. Sokongan sebegini penting untuk proses pemulihan dan kesejahteraan pemandiri.
- Mewajibkan latihan tahunan tentang pencegahan gangguan seksual yang berkesan kepada semua staf dan pelajar universiti di setiap fakulti, jabatan dan kolej kediaman. Latihan tersebut haruslah merangkumi panduan yang praktikal berkaitan mengenal pasti gangguan, mekanisme aduan, cara membantu secara selamat dan sokongan kepada pemandiri serta menekankan maklumat penting yang terkandung dalam KOD.
- Menubuhkan satu jawatankuasa pemantau luar melibatkan alumni, pakar pengajian gender dan pakar perundangan untuk menyelia pengurusan universiti berkaitan kes gangguan seksual serta memastikan pematuhan amalan terbaik.
- Melakukan audit bebas secara berkala berkaitan bagaimana aduan gangguan seksual diuruskan. Laporan audit diterbitkan secara umum untuk menjamin akauntabiliti yang berterusan.
- Universiti menerbitkan satu laporan tahunan yang memperincikan situasi menyeluruh berkaitan bilangan aduan gangguan seksual yang diterima, proses lanjutan dan setiap hasil siasatan. Laporan ini adalah penting untuk membuktikan ketelusan dan akauntabiliti universiti dalam menangani masalah gangguan seksual.