Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata melalui kerjasama pelaburan strategik ini, dana persaraan anggota ATM akan diuruskan dengan lebih berkesan dan efisien, memastikan pulangan yang lebih baik dan stabil.
“Ini bukan sahaja meningkatkan kestabilan kewangan selepas persaraan, tetapi juga memberi jaminan dalam menyusuri masa depan yang lebih cerah.
“Sebagai sebuah institusi yang menguruskan dana persaraan anggota ATM, pengambilalihan sebahagian pegangan LTAT dalam Affin Bank oleh Kerajaan Negeri Sarawak adalah satu langkah strategik bagi memastikan pertumbuhan dan perlindungan dana pencarum LTAT.
“Keputusan strategik ini dijangka menghasilkan pulangan positif dalam bentuk dividen yang kompetitif serta mampan kepada pencarum LTAT. Saya juga ingin menegaskan bahawa langkah ini merupakan sebuah ‘reinvestment strategy’ untuk mengoptimum portfolio LTAT dan menjamin penciptaan nilai jangka panjang bagi para pencarum.
“Strategi ini bakal mencipta peluang untuk LTAT melabur dalam portfolio yang berpotensi memberikan pulangan lebih tinggi, sambil memperkukuh kedudukan kewangan serta memaksimum manfaat kepada para pencarum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian jual beli saham Affin Bank antara LTAT dan Kerajaan Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.
Langkah penjualan saham itu tegasnya, membuka ruang kepada LTAT untuk menyusun semula portfolio pelaburannya dengan lebih berkesan, selaras dengan matlamat dan strategi yang telah digariskan dalam kerangka peruntukan aset strategik lembaga itu.
LTAT kata beliau akan dapat mengoptimumkan potensi pertumbuhan dan meminimumkan risiko, seterusnya memperkukuh kedudukan dana dalam menghadapi cabaran pasaran yang dinamik.
Ditubuhkan pada tahun 1975, bank ini pada mulanya dikenali sebagai Perwira Habib Bank Berhad, sebelum dijenamakan semula sebagai Affin Holdings Berhad pada tahun 1994 selepas proses penstrukturan semula modal.
Pada tahun 2018, Affin Bank Berhad telah disenaraikan di Bursa Malaysia, menggantikan Affin Holdings Berhad sebagai pemegang saham utama.