MERSING: Kementerian Pertahanan menyeru semua lapisan masyarakat agar membantu kira-kira 20,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen dan tidak berpencen untuk berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kelebihan pendaftaran itu membolehkan golongan berkenaan menerima pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan secara lebih efektif.

Beliau berkata skim bantuan yang disediakan oleh jabatan itu termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam kepada veteran ATM yang layak.

"Justeru, saya berharap agar anggota veteran kita termasuk balu dan kepada rakyat Malaysia umumnya yang mungkin ahli keluarga atau pun saudara-mara boleh membantu mereka untuk mendaftar dengan JHEV serta persatuan di lokaliti masing-masing serta mengemas kini maklumat semasa, melalui sistem VIBES 2.0," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Peduli Veteran Madani (PVM) peringkat daerah Mersing di sebuah restoran selepas menyampaikan bantuan pendingin kepada veteran usahawan iaitu Hasrin Saidin, 56, di Kampung Seri Lalang di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Staf 1 Sekretariat JHEV Leftenan Kolonel Nor Azimi Idris, Pengarah JHEV cawangan negeri Mejar Johadi Jemaat serta wakil persatuan veteran ATM daerah Mersing.

Pada masa sama, Adly berkata kebanyakan veteran tidak berdaftar juga terdiri dalam kalangan mereka yang masih muda dengan beranggapan tiada keperluan untuk melakukan sedemikian.

"Kebanyakan yang muda-muda ini selepas bersara dia rasa tiada keperluan untuk mendaftar, tetapi apabila usia semakin meningkat (baru mereka sedar) keperluan (bantuan) dari segi kesihatan dan kebajikan.

"Oleh itu, kita akan terus komited dalam mempertingkatkan lagi PVM menerusi kerjasama dengan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi berkaitan melalui siri lawatan kebajikan akan datang agar tiada veteran yang terpinggir daripada menerima segala manfaat disediakan," katanya.

Pada program itu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah sempat meluangkan masa menyantuni 12 veteran ATM yang uzur dan menghidap penyakit kronik serta menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan seperti makanan, susu kesihatan dan lampin pakai buang selain mengagihkan 300 Bakul Rahmah kepada veteran asnaf.

-- BERNAMA