Beliau berkata lawatan itu bukan hanya untuk melihat perkembangan veteran ATM tetapi juga memastikan skim bantuan yang disediakan kepada golongan itu disalurkan dengan efektif.
"Selain bertanya khabar, kita pergi ke rumah mereka contohnya di Semporna kita pergi di kawasan pulau adalah untuk kita pasti skim bantuan yang kita buat ini sasarannya sampai kepada penerima (veteran).
"Misalnya aspek perumahan, ada yang kita kenal pasti untuk dibaiki dan semalam kita lawat di Pulau Bum Bum, sebahagian kita sudah baiki," katanya kepada pemberita pada program lawatan PVM di sini semalam.
Menurutnya sebanyak 594 veteran ATM termasuk 174 tidak berpencen tinggal di Semporna dan 741 veteran termasuk 258 tidak berpencen di Tawau.
"Saya fikir lawatan PVM ini dapat mempercepat dan meningkatkan taraf perkhidmatan kementerian dan Jabatan Hal Ehwal Veteran kepada anggota veteran ATM yang memberikan khidmat dan jasa untuk negara," katanya.
Adly berkata lebih 29,000 veteran ATM di negara ini menerima manfaat RM300 sebulan menerusi skim bantuan sara hidup.
"Kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran sara hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 juta dan setakat 30 Jun lepas, seramai 29,331 veteran ATM menerima faedah ini melibatkan RM56 juta," katanya lagi.
Adly memulakan lawatan kerja rasmi tiga hari ke Tawau dan Semporna pada Ahad lepas, bagi menyantuni veteran ATM yang uzur dan sakit kronik termasuk mengagihkan 500 Bakul Rahmah kepada persatuan veteran setempat.
Di samping itu, beliau turut meluangkan masa ke Lahad Datu melawat keluarga Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa yang meninggal dunia semasa operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Penyusop di Johor.
-- BERNAMA