Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta kira-kira jam 6 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga Pakistan berumur 50 tahun.
"Kemalangan dipercayai berlaku selepas penunggang motosikal memulakan perjalanan apabila lampu isyarat bertukar hijau, namun secara tiba-tiba dilanggar kereta yang datang dari arah kanan.
"Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke tepi jalan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu namun disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 malam semasa mendapatkan rawatan sementara pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Ahmad Faizal berkata, bedah siasat ke atas mangsa dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu pada Jumaat untuk menentukan punca kematian.
"Manakala pemandu kereta warga Pakistan itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Pihak polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan.