Ringkasan AI
- Kerajaan akan memperluas penggunaan kod QR untuk urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor kepada semua jenis pengangkutan mulai tahun depan, selepas fasa percubaan yang berjaya.
- Pelaksanaan kod QR ini telah mengurangkan masa menunggu semasa waktu puncak dengan ketara, dari 120 minit kepada sekitar 20 minit untuk masuk ke Singapura.
- Proses perolehan kod QR di Tambak Johor akan dimuktamadkan pada tahun 2024, dengan perluasan ini penting untuk persiapan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia diputuskan selepas melihat keberkesanan fasa percubaan kod QR bagi mod pengangkutan bas dan motosikal ketika ini.
Menurut Saifuddin, pelaksanaan kod QR ini mewakili 80 peratus daripada 400,000 pengguna harian di Tambak Johor yang telah mengurangkan masa menunggu semasa waktu puncak dengan ketara.
"Sebanyak dua juta pengguna menggunakan kod QR sepanjang 'proof of concept' (POC) dijalankan bermula 1 Jun dan dilanjutkan hingga 30 November ini.
"Hasil data sebelum penggunaan kod QR, kira-kira 120 minit diperlukan untuk masuk ke Singapura dan sekarang sekitar 20 minit sahaja tempoh menunggu pada waktu puncak
“Contoh lain sekarang kita guna sistem M-Bike mengambil masa 8 saat, manakala sistem kod QR mengurangkan kepada 5 saat untuk penunggang motosikal tunggal dan 6 saat untuk mereka yang bawa pembonceng.
"Dua hingga tiga saat yang dijimatkan ini sangat signifikan. Dalam satu jam, kod QR mampu menampung lebih 750 penunggang motosikal berbanding sekarang sekitar 500 hingga 600,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengatasi Kesesakan di Tambak Johor, Sesi Dua 2024, di sini, pada Isnin.
Jelasnya, proses perolehan bagi penggunaan kod QR di Tambak Johor akan dimuktamadkan bagi tahun kewangan semasa iaitu pada 2024.
Beliau menambah, perluasan ini penting memandangkan status Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 dan Tahun Melawat Malaysia pada 2026 selain jangkaan peningkatan pengguna daripada 116 juta kepada 150 juta setahun.